Thursday, June 18, 2015

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Sempena bulan Ramadhan ni, mari kita bercerita tentang masjid. Kebetulan minggu lepas ada meeting di Putrajaya, berhenti solat di masjid ini. Terpesona sungguh ketika masuk ruang solat. Jom kita review sikit tentang masjid ini.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diambil sempena nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII. Masjid ini mula dibina pada 5 April 2004 dan telah diserahkan pengurusannya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 19 Ogos 2009.
 

Masjid ini terletak di Presint 3, Putrajaya bersetentangan dengan Istana Kehakiman atau "PALACE OF JUSTICE". Lokasi masjid ini sangat menarik kerana berada di tepi tasik Putrajaya. 
 
Masjid ini juga boleh memuatkan 20,000 orang jemaah dan dibina sememangnya bertujuan sebagai pusat ibadat yang selesa dan pusat perkembangan ilmu selain menjadikannya sebagai sebuah institusi pelancongan ibadah antarabangsa.
 

Masjid ini bernilai RM 200 juta dan merupakan satu-satunya masjid yang dibina menggunakan 6000 tan besi atau 70 peratus bahan binaan dengan baki 30 peratus konkrit. Itu sebab ada sesetengah orang memanggilnya dengan nama masjid besi.

Komponen utama pembinaan masjid ini ialah bangunan masjid dan Kiblat Walk iaitu laluan pejalan kaki yang menghubungkan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PJC) dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
 
Masjid ini mempunyai 3 konsep rekabentuk iaitu “angin, sederhana dan telus”. Bahagian dalam dewan solat utama tidak menggunakan kipas atau penghawa dingin sebaliknya menggunakan teknologi gas penyejuk udara "Gas District Cooling". Boleh rasa macam ada angin sepoi-sepoi bahasa je dalam masjid tu. Berhampiran ruang solat utama turut dikelilingi kolam air. Macam kolam renang infiniti tu tapi awas kalau bawa anak-anak, takut mereka terjun pula ke dalam kolam.
 

Rekabentuk dalaman pula dihiasi dengan tulisan ayat-ayat al-Quran yang dilakarkan dalam lapisan kaca setinggi 13 meter. Idea ini terhasil daripada campuran kesenian Jerman dan China. 

Bahagian kanan cermin dinukilkan ayat 40 hingga 47 surah Ibrahim manakala dibahagian kiri ayat 148 hingga 153 surah al-Baqarah. Pintu utama menuju ke ruang solat utama pula kelihatan ukiran ayat 80 surah al-Isra' dan pintu gerbang utama diperbuat daripada binaan konkrit putih yang dilatari tulisan kaligrafi 99 nama Asma' Ul-Husna.
 

Kubah masjid  ini pula diperbuat daripada besi tahan karat, dewan solat utama dikelilingi dengan marshrabiyah screen yang terdiri daipada "lattice" dan "architectural metallic wailing screen" yang berfungsi sebagai telus cahaya dan angin. Selain itu, masjid ini mengunakan teknologi ultrasonic yang digunakan sebagai penghalau burung daripada memasuki masjid.
   
Kalimah "ALLAH" boleh dilihat daripada pandangan bawah bahagian dalaman kubah. Selain itu, masjid ini dengan tidak mempunyai menara berbanding dengan masjid-masjid lain. 
 
Masjid ini terdiri daripada 5 aras utama yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk para jemaah dan para pengunjung.
 
Aras Bawah Satu (C2) merupakan laluan utama untuk memasuki masjid serta terdapat 10 unit lot ruang perniagaan dan 2 daripada ruang tersebut akan dijadikan perpustakaan kanak-kanak. Juga terdapat sebuah dewan serbaguna yang boleh memuatkan seramai 250 orang. Manakala bahagian hadapan di aras yang sama tersedia sebanyak 281 parkir kereta, 79 parkir motosikal dan 30 parkir basikal. Berhampiran ruang parkir tersebut terdapat kemudahan bilik pengurusan jenazah dan 3 unit kuarters 2 tingkat khusus untuk kakitangan masjid.
 
Aras Bawah  (C1) pula terdapat sebanyak 180 parkir kereta dan juga terletaknya bilik air, tempat wuduk lelaki dan wanita. Kemudahan yang disediakan setelah mengambil wudhuk ialah tangga bergerak "escalator" yang menghubungkan di antara aras C1 sehingga aras L2. Escalator ini mungkin berfungsi ketika solat Jumaat atau adanya majlis-majlis ilmu sahaja kerana ketika saya mengunjungi masjid ini, escalator nya tidak berfungsi. Info buat warga emas macam emak aku, memang tak larat nak panjat tangga untuk bersolat di atas, boleh cari lif.
 
Aras Satu (L1) ini terletaknya Dewan Solat Utama yang memuatkan 12,000 jemaah. Manakala bahagian kiri dan kanan terdapat ruang limpahan terbuka bergelar Sahn yang boleh dipenuhi seramai 6,000 orang jemaah dalam satu-satu masa. Aras ini juga merupakan laluan Kiblat Walk seluas 13639 meter persegi iaitu menghubungkan Kompleks Perbadanan Putrajaya dengan bangunan masjid.
 
Aras Dua (L2) yang dipanggil sebagai Dewan Solat Terrace terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Dewan Solat Lelaki di sebelah kanan dan Dewan Solat Wanita di sebelah kiri. Ruang solat kedua-dua bahagian ini boleh memuatkan seramai 5,000 orang jemaah. 

Mungkin disebabkan hari-hari bekerja, orang yang menggunakan masjid untuk bersolat adalah sangat sedikit, terdapat sedikit ruang di belakang ruang solat utama untuk jemaah wanita bersolat. Terdapat juga ruang bilik persalinan untuk wanita di sudut tepi.
 
Aras Tiga (L3) yang menempatkan bilik kawalan TV dan radio bagi kegunaan dan kemudahan pihak penyiaran TV untuk membuat rakaman.


Sempena bulan Ramadhan ni, marilah ramai-ramai mengimarahkan masjid.

No comments:

Post a Comment