Friday, August 14, 2015

I'm Back....

Assalamualaikum....

Wah..lamanya tak update blog....

Dari start minggu kedua puasa sampai la hari ni dah 29 Syawal...

Sebelum terlupa dan terlambat nak ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua readers. Taqabbalallahu minna wa minkum. I mintak maap la ye kalau blog ni terlalu menyakitkan hati ye. Mana tahu I tersindir-sindir lak...husband I selalu sentap dengan I uolss..I ni dia kata mulut tak ada insurance langsung.

Cerita raya tak menarik sebab raya macam biasa. Tak ada yang istimewa. Gambar raya pun tak ada tahun ni walaupun tempah baju satu family sedondon je color purple.

Raya ketiga I dah balik KL dengan bersiar-siar sekitar KL di malam hari dan esoknya dah start bekerja. Cuti tak ada sebab terpaksa gilir-gilir dengan husband jaga anak kat rumah. Taska tutup seminggu lebih kau...

Raya ke tujuh dah start marathon puasa ganti dan sunat langsung sebulan Syawal jugalah aku berpuasa hari kerja. Jimat weh..bila waktu lunch aku tidur je..tak de la aku merayau sambil membeli macam-macam..balik buka puasa Rizal pulak dah siap beli macam tau je tekak kita nak makan apa..TQ laling...

Aku update blog waktu office hour je..sebab aku tak ada kerja sangat sebelum ni...tapi sebab aku cuti awal sebelum raya (taska tutup jugak), lepas raya aku masuk office aku siapkan kerja-kerja office yang penting-penting je sebelum bercuti jaga anak kat rumah.

Balik semula kat office dah marathon nak mengejar pembayaran GST dengan document untuk July semua tak complete. Dalam cuti kat rumah pun sibuk aku bekerja dengan tax agent aku takut ada yang mana yang tertinggal kan. Alhamdulillah..settle bab GST tapi bab audit company lak yang tak settle lagi...tu yang settle kan semua doc untuk audit. Semalam baru settle..hari ni pun ada sisa-sisa kerja yang boleh layan sambil update blog.

Kepada readers yang nak tahu tentang fee Genius Aulad untuk tahun 2016, aku dah ada. Nanti aku blog kan berapa ye fee untuk tahun depan. Yang penting, tenangkan diri anda sebab semua kos adalah meningkat sepertimana jatuhnya RM berbanding US. Supaya anda tak jatuh macam matawang negara kita, aku update lepas Syawal supaya mood syawal ni kita baik-baik je.

Banyak benda nak cerita ni...nanti aku cerita satu-satu..jangan marah pulak ye nanti kita punya update sampai dua tiga entry satu hari lepas ni...

Esok last Syawal..apa plan? Aku kat rumah KL je esok..Rizal kerja..kalau nak datang rumah sila inform aku ye..makanan bawa sendiri ye..hahaha..gurau je...tapi rumah aku tiap-tiap hari ada sate sebab kami husband and wife buat sate sendiri simpan dalam fridge. Anak-anak asyik nak makan sate hari-hari...orang jual sate lak asyik tak buka kedai...kita buat je la sendiri. Hari-hari boleh makan

Nak belanja gambar seketul pun tak de gambar menarik....Jumpa lagi di next entry..bye...
 

Wednesday, June 24, 2015

Ponteng Sekolah

Aisy masuk hari ini dah empat hari ponteng sekolah. Aku sendiri tak tahu puncanya apa sampai buntu kepala aku fikir.

Setiap hari ada aje alasan yang dia bagi bila pagi aku kejut dia untuk mandi.

Kisahnya start last week hari Rabu, pagi macam biasa. Bangun, mandi, solat subuh, layan youtube, naik ke kelas. Bila dia balik sekolah barulah aku tahu yang dia mengadu sakit kepala dan sepanjang sesi sekolah tidak masuk ke kelas. Sekolah tak telefon sebab tak serious, just demam sikit je.

Petang aku bawa dia ke klinik pun demam masih belum kebah. Walaupun kita rasa badan dia tak panas pun, aktif macam biasa dan tiada muntah-muntah. Doc pun cakap not to worried sangat sebab normal, bila ada virus, kanak-kanak pun boleh sakit kepala.

Sebab itu, Khamis 1st Ramadhan dia tak ke sekolah dengan alasan dia takut kalau sakit lagi. Ok fine, kau rasa badan tak sihat lagi.

Jumaat, 2nd day. Again, dia tak nak ke sekolah sebab nak cuti lagi. Next week baru nak pergi sekolah. Dia cakap la..

Monday, kejut bangun pagi dia buat tak tahu je. Pejam mata tapi husband paksa mandikan dia. Nangis-nangis pakai baju dan pergi juga ke sekolah. 

Tapi sampai sekolah menangis lagi waktu nak naik ke kelas sebab tak pakai stokin. Wah..drama sungguh..terpaksa tunggu husband hantar stokin pulak. 

Drama lagi sedih bila adik dia turun semula ke bawah dan berdiri di sebalik pintu kaca yang di lock secara automatic tu sambil pegang stokin untuk diberikan kepada kakak. Oh sweet, dia ada stokin spare dalam beg tapi tak nak bagi kakak terus, sanggup turun bawah nak bagi kat mama. 

Aku pulak dalam kereta tunggu husband membelakangkan pintu sekolah dia dan aku tak perasan langsung dia berdiri di sebalik pintu tu dah berapa lama. Langsung menangis bila aku buka pintu. 

Di sekolah, semua ok untuk hari itu. Tapi tidak di pagi Selasa. Aisy buat drama lagi. Menangis-nangis tak nak pergi sekolah. Reason; Aisy takut teacher marah budak-budak lelaki yang bising tu. Ok, fine...

Petang semalam banyak kali kata esok pergi sekolah. Tapi bila malam, dengan lembut cakap esok Aisy tak nak pergi sekolah. Reason; Aisy takut teacher Zulaikha. Dia marah Aisy. Aisy tak pandai Math.

Oh..drama apa la yang anak aku buat sekarang ni..Teacher kat sekolah dia mana ada yang garang. Semua lemah lembut, kalau garang tu mama dia ada la.

Baru je sign report card budak berdua tu, dua-dua pun ok. Sangat disukai oleh teacher kelas sebab diorang sangat baik di sekolah. Learning, reading, writing, social semua pun ok. Kenapa la tak nak pergi sekolah wahai anak? Huhuhu..

#mamakausedih
 

Monday, June 22, 2015

Sebab Berbuka Puasa Di Rumah


Salam Ramadhan...

Aku saje je tertengok status kat blog aku ni apa hal lah tinggi semacam jumlah pengunjung blog aku ni kan. Maklum la..blog tak de readers ni pelik juga bila tiba2 traffic tu naik je.

Rupanya penangan mencari buffet Ranadhan dan destinasinya adalah Restoran Nelayan.

Ramai orang rupanya suka makan kat luar bila berbuka berbanding masak sendiri. Memang syok makan buffet ni. Macam-macam ada boleh makan. Rabun mata tengok aneka warna makanan yang terhidang.

Disebabkan aku ni gemuk tak kurus-kurus, maka aku memilih rumah untuk berbuka sebab;

1. Jimat
Kos beli bahan mentah untuk sejenis atau dua jenis lauk tak habis RM20.00. Boleh masak sekali tapi makan dua kali. Boleh juga makan lebih kurang dua hingga empat orang dewasa. Jimat duit, jimat masa. Sahur nanti tak payah masak dah just panaskan sahaja.

Lagi pun bulan puasa ni bukan boleh makan banyak-banyak pun. Bila buka puasa sunat la kita makan kurma. Tapi bila dah telan kurma tiga biji, air dua gelas, bila nasi masuk dua mulut je dah sendawa. Perut kenyang kot...

2. Selesa
Berbuka di rumah lebih selesa pada aku berbanding berbuka di luar. Tambah pula bila dah ada anak-anak kecik yang ramai ni kan. Susah nak makan bila kita ni terpaksa bergilir-gilir dengan husband. Walaupun husband pergi solat dulu, tapi kita ni bukan boleh makan dengan bahagia. 

Kalau kat rumah, kami memang makan sama-sama dengan anak-anak sebab aku siap masak pun bila azan tu berkumandang. Boleh makan ramai-ramai. Air tumpah, gelas terbalik, nasi tumpah..tak kisah la. Janji makan dulu. Lepas solat nanti baru kemas. Janji boleh makan atau nak solat dulu pun boleh. Anak nak berlari keluar masuk bilik pun tak pe, janji pintu bilik air je tutup.

3. Kawal Kalori Makanan
Hehehe..ini cakap orang diet macam aku la. Setiap kali beli kuih muih nak makan sekarang ni, aku siap kira lagi berapa kcal bagi setiap biji kuih. Kalau makan nasi lak dengan lauk ni berapa kcal. Janji tak boleh lebih yang sepatutnya. Kata nak kurus kan...haruslah jaga diet.

4. Mantap Skill Memasak
Aku bukanlah orang yang rajin memasak sebab aku rasa memasak tu leceh. Tambah pulak bila dah penat drive dua jam dalam 'jam' nak sampai rumah, tiba-tiba kita ni nak bersilat pulak kat dapur kan.

Tapi sebab malas nak makan kat luar, hadap je la periuk belanga tu kan. Bersilat la kat dapur tu nak siapkan juadah berbuka. Macam husband aku pun dia memang suka makan kat rumah. Masak simple setakat bakar ayam je pun tak pe. Itu pun dah buat dia makan dengan selera.

Bila memasak  bulan puasa ni, kita kenalah mencuba 30 resepi untuk 30 hari. Hehehe..boleh pening kepala nak buat jadual masakan ni. Tapi banyak blog masakan untuk dapatkan resepi masakan yang sedap-sedap. Usaha tangga kejayaan.

Sebab utama aku memilih buka puasa kat rumah sebab anak-anak. Anak-anak aku sangat susah nak makan kat luar. Ada yang tak nak turun dari kereta (Aisy), ada yang suka hisap jari je bila nampak ramai sangat orang (Amni) dan yang ada yang suka berlari-lari (Amsyar). Apa pilihan yang aku ada? Makan di rumah jawapannya..

 

Friday, June 19, 2015

Iklan Raya Kad Raya Syafiqa

Salam Ramadhan....

Alhamdulillah, hari hari kedua kita berpuasa. Semoga amalan kita semua diterima olehNya.

Baru masuk hari kedua puasa tapi hari ni dah tengok iklan raya. Korang dah tengok ke? Bukan yang siar kat tv..Ini yang viral kat facebook.


Iklan raya dalam bentuk filem pendek ini dipersembahkan oleh PTS Media Group menampilkan pelakon kanak-kanak yang sangat famous tu, Puteri Balqis dan penampilan istimewa penulis terkenal Bahruddin Bekri bertajuk "Kad Raya Syafiqa".

Filem pendek ini berdurasi 11 minit 12 saat. Walaupun pendek, tapi sungguh terkesan di hati sampai aku kopek bawang pagi-pagi apa kes.

Ini pulak tagline filem tu,
"Sebagaimana pentingnya ibu bapa kepada kita, begitu juga kita di mata mereka. Bahagiakanlah mereka selagi masih ada waktu. Pulanglah".

Selamat menonton dan jangan lupa sediakan lah tisu siap-siap bagi yang hati kecik macam aku ni.

Sumber video : Youtube oleh PTS Media Group. Just share

Thursday, June 18, 2015

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Sempena bulan Ramadhan ni, mari kita bercerita tentang masjid. Kebetulan minggu lepas ada meeting di Putrajaya, berhenti solat di masjid ini. Terpesona sungguh ketika masuk ruang solat. Jom kita review sikit tentang masjid ini.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diambil sempena nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII. Masjid ini mula dibina pada 5 April 2004 dan telah diserahkan pengurusannya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 19 Ogos 2009.
 

Masjid ini terletak di Presint 3, Putrajaya bersetentangan dengan Istana Kehakiman atau "PALACE OF JUSTICE". Lokasi masjid ini sangat menarik kerana berada di tepi tasik Putrajaya. 
 
Masjid ini juga boleh memuatkan 20,000 orang jemaah dan dibina sememangnya bertujuan sebagai pusat ibadat yang selesa dan pusat perkembangan ilmu selain menjadikannya sebagai sebuah institusi pelancongan ibadah antarabangsa.
 

Masjid ini bernilai RM 200 juta dan merupakan satu-satunya masjid yang dibina menggunakan 6000 tan besi atau 70 peratus bahan binaan dengan baki 30 peratus konkrit. Itu sebab ada sesetengah orang memanggilnya dengan nama masjid besi.

Komponen utama pembinaan masjid ini ialah bangunan masjid dan Kiblat Walk iaitu laluan pejalan kaki yang menghubungkan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PJC) dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
 
Masjid ini mempunyai 3 konsep rekabentuk iaitu “angin, sederhana dan telus”. Bahagian dalam dewan solat utama tidak menggunakan kipas atau penghawa dingin sebaliknya menggunakan teknologi gas penyejuk udara "Gas District Cooling". Boleh rasa macam ada angin sepoi-sepoi bahasa je dalam masjid tu. Berhampiran ruang solat utama turut dikelilingi kolam air. Macam kolam renang infiniti tu tapi awas kalau bawa anak-anak, takut mereka terjun pula ke dalam kolam.
 

Rekabentuk dalaman pula dihiasi dengan tulisan ayat-ayat al-Quran yang dilakarkan dalam lapisan kaca setinggi 13 meter. Idea ini terhasil daripada campuran kesenian Jerman dan China. 

Bahagian kanan cermin dinukilkan ayat 40 hingga 47 surah Ibrahim manakala dibahagian kiri ayat 148 hingga 153 surah al-Baqarah. Pintu utama menuju ke ruang solat utama pula kelihatan ukiran ayat 80 surah al-Isra' dan pintu gerbang utama diperbuat daripada binaan konkrit putih yang dilatari tulisan kaligrafi 99 nama Asma' Ul-Husna.
 

Kubah masjid  ini pula diperbuat daripada besi tahan karat, dewan solat utama dikelilingi dengan marshrabiyah screen yang terdiri daipada "lattice" dan "architectural metallic wailing screen" yang berfungsi sebagai telus cahaya dan angin. Selain itu, masjid ini mengunakan teknologi ultrasonic yang digunakan sebagai penghalau burung daripada memasuki masjid.
   
Kalimah "ALLAH" boleh dilihat daripada pandangan bawah bahagian dalaman kubah. Selain itu, masjid ini dengan tidak mempunyai menara berbanding dengan masjid-masjid lain. 
 
Masjid ini terdiri daripada 5 aras utama yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk para jemaah dan para pengunjung.
 
Aras Bawah Satu (C2) merupakan laluan utama untuk memasuki masjid serta terdapat 10 unit lot ruang perniagaan dan 2 daripada ruang tersebut akan dijadikan perpustakaan kanak-kanak. Juga terdapat sebuah dewan serbaguna yang boleh memuatkan seramai 250 orang. Manakala bahagian hadapan di aras yang sama tersedia sebanyak 281 parkir kereta, 79 parkir motosikal dan 30 parkir basikal. Berhampiran ruang parkir tersebut terdapat kemudahan bilik pengurusan jenazah dan 3 unit kuarters 2 tingkat khusus untuk kakitangan masjid.
 
Aras Bawah  (C1) pula terdapat sebanyak 180 parkir kereta dan juga terletaknya bilik air, tempat wuduk lelaki dan wanita. Kemudahan yang disediakan setelah mengambil wudhuk ialah tangga bergerak "escalator" yang menghubungkan di antara aras C1 sehingga aras L2. Escalator ini mungkin berfungsi ketika solat Jumaat atau adanya majlis-majlis ilmu sahaja kerana ketika saya mengunjungi masjid ini, escalator nya tidak berfungsi. Info buat warga emas macam emak aku, memang tak larat nak panjat tangga untuk bersolat di atas, boleh cari lif.
 
Aras Satu (L1) ini terletaknya Dewan Solat Utama yang memuatkan 12,000 jemaah. Manakala bahagian kiri dan kanan terdapat ruang limpahan terbuka bergelar Sahn yang boleh dipenuhi seramai 6,000 orang jemaah dalam satu-satu masa. Aras ini juga merupakan laluan Kiblat Walk seluas 13639 meter persegi iaitu menghubungkan Kompleks Perbadanan Putrajaya dengan bangunan masjid.
 
Aras Dua (L2) yang dipanggil sebagai Dewan Solat Terrace terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Dewan Solat Lelaki di sebelah kanan dan Dewan Solat Wanita di sebelah kiri. Ruang solat kedua-dua bahagian ini boleh memuatkan seramai 5,000 orang jemaah. 

Mungkin disebabkan hari-hari bekerja, orang yang menggunakan masjid untuk bersolat adalah sangat sedikit, terdapat sedikit ruang di belakang ruang solat utama untuk jemaah wanita bersolat. Terdapat juga ruang bilik persalinan untuk wanita di sudut tepi.
 
Aras Tiga (L3) yang menempatkan bilik kawalan TV dan radio bagi kegunaan dan kemudahan pihak penyiaran TV untuk membuat rakaman.


Sempena bulan Ramadhan ni, marilah ramai-ramai mengimarahkan masjid.