Friday, January 20, 2017

Minggu Orientasi Tahun 1

31 Dec 2016, hari terakhir tahun 2016, hari pertama untuk Aisy sarung uniform sek rendah.

Dah darjah satu budak ni, kejap je masa berlalu. Rasa macam baru je lahirkan dia, hari ni dia dah masuk sekolah.

Uniform sekolah semua ciksu dia yang jahit kecuali tudung je beli yang dah siap.

Ingat dia tak nak pakai tudung, sebab waktu kat GA tu dia jarang pakai tudung. Alhamdulillah, dia sendiri nak pakai tudung bila dah masuk darjah satu ni.

Seawal 7.45 pagi aku dah pergi sekolah walaupun pendaftaran start pukul 8.00 pagi. Itu pun dapat parking tepi jalan je, menapak gak la ke sekolah.

Aisy ditempatkan kelas Jingga untuk sementara waktu sebab diorang akan exam dulu untuk tentukan kelas sebenar.


Cerita bab exam, aku tau pun last minit dari cerita-cerita kawan aku dan pihak sekolah pun tak de beritahu apa-apa. Sempat la aku print soalan dan Aisy buat tiga hari sebelum register tu.

Sementara diorang exam, parents ni ada sesi taklimat dengan penyelaras tahun satu, PIBG, dan Guru Besar sekolah.


Sementara diorang habis exam tu, parents dah habis taklimat, aku gi settle kan beli baju pendidikan jasmani untuk dia. Buku tulis semua Rizal dah siap beli last week lagi sejak sekolah announce koperasi buka dan boleh start membeli buku.

Lepas budak-budak ni rehat, diorang di bawa oleh guru yang bertugas pusing-pusing sekolah. Parents ni pulak beratur kat kelas untuk settle kan yuran, serahkan dokumen-dokumen pelajar, dan juga pengambilan buku teks.

Untuk batch Aisy tahun ni, diorang dapat buku teks yang baru. So, memang kena balut la.

Next entry aku update dokumen-dokumen yang patut bawa kalau nak daftar anak tahun 1.

Thursday, January 19, 2017

Selamat Tinggal 2016 , Selamat Datang 2017

Salam...

Mood menulis ke laut walaupun terlalu banyak yang perlu dikisahkan dalam blog ni.

2016,
Penuh kenangan..

Jalan-jalan
Paling best memory ke Langkawi 4 hari 3 malam..
Selepas hampir 8 tahun tak jejak ke tanah tumpah darah Mahsuri.
Harap sangat 2017 masih berkesempatan untuk mencipta kenangan..

Pembelajaran Anak-anak
Aisy 
Dah last year kat GA
Dah masuk darjah satu tahun ni
Apa cerita dia di tahun 1, 2017 ni?
2016 dia mewakili GA sebagai peserta pertandingan membaca,
Alhamdulillah, dia boleh membaca, menulis dan mengira bila melangkah keluar dari GA ni.
Thank you semua tenaga pendidik kat GA terutama Teacher Aniza yang sangat baik hati sanggup adakan kelas tambahan untuk Aisy.
Terima kasih.
Berulang alik ke klinik gigi jumpa dentist cabut gigi dia. 
Aisy dah hilang 4 batang gigi tahun 2016 ni..
Comel je xde gigi depan tu..
Amni 
Ada lagi satu tahun
Apa karenah dia 2017?
Kalau 2016 dia hadapi masalah dengan penerimaan guru lelaki,
2017 macamana pulak?
Masih di GA atau tukar sekolah lain?

Amsyar 
Masih macam super hero igauan dia.
Tak pedulikan ABC, 123, Alif Ba Ta,
Aku biarkan dia aje.
Masih kecik pada aku..
Lagi pun dia lelaki, tak ada mood nak pegang pensil dan kertas
Lebih seronok dengan alam fantasi kereta dan super hero dia
Lebih seronok dengan basikal dia yang tak ada pengayuh tu dan hanya beroda dua bukan empat.
Tapi dia dah pandai imbang badan bila turun bukit.
Ada can pow basikal baru ni

Kehidupan Kami
Rizal,
2016 ni mungkin kenangan paling pahit la kot untuk dia
Nov diuji dengan tertusuk kawat dawai sampai naik ambulan ke hospital
Pengajaran, kalau dah azan Zohor tu, matahari dah pacak atas kepala, berhenti lah bekerja. Hehehe..

Aku?
Tuan punya tanah tak ada apa yang nak cerita..
2016 duit mengalir macam air...
2016 masa berlalu macam speed 300km/j sehari..
Langsung tak cukup masa...tak tahu nak manage macamana lagi coz masa ada kat rumah tu bila hari kerja hanya ada 5 jam sebelum tidur..
Tak pernah tidur sebelum 12.00 malam, 
Bangun tak pernah bangun selepas 05.00 pagi..
Tapi banyak kali je sampai office lambat (jam)
Sampai rumah pun lambat...
Aku rasa macam stress..
Mungkin best kalau duduk kat rumah jaga anak-anak je.
Stress berperang dgn diorang je..
Hope 2017 lebih baik untuk aku..huhuhu

Selamat tinggal 2016, semoga ada masa 48 jam sehari untuk tahun 2017..

Friday, December 16, 2016

Cuti Panjang, Novel, Housewife, Demam

Salam...

Sebab banyak cerita nak cerita, kita rajinkan diri sikit update entry blog yang hidup segan mati tak mahu ni.

Cuti Panjang Lepak Kampung

Seminggu lepas Little Ihtifal tu aku cuti lama hampir seminggu dok rumah je teman mak kat kampung dan stay dengan anak-anak aku je. Kenapa stay kampung? Sebab dua-dua adik aku pergi bercuti oversea, giliran aku pulak dok dgn mak. Mula nak berulang tapi fikir anak-anak kesian kat mak nak jaga pulak kan. So, habiskan je la mana baki cuti yang ada.

Dok kampung memang seronok, tambah anak-anak aku la. Kebetulan musim hujan awal Disember tu kan, sejuk bukan main lagi macam duduk kat tanah tinggi. Sampai Amni & Amsyar tidur bangun tak nak mandi bawa ke petang.

Kalau time hujan je, Amsyar dah pandai keluar rumah mandi hujan dan sekarang aku adalah ibu yang tak kisah anak-anak aku mandi hujan. Kalau kat kampung la. Aku nak bagi diorang kebal sikit macam kami kecik-kecik dulu rilek je berkubang dan berenang dalam air hujan yang bertakung.

Kebetulan juga buah mangga kampung / mangga telur yang kecik-kecik tu tengah nak masak, hari-hari Amni ajak mak aku gi melawat pokok buah. Jumpa betik masak nak buah betik pulak. Habis semua buah dia nak makan. Seronok la diorang, lepas bebas berlari, kayuh basikal, main pasir yang aku rasa macam ada tahi kucing pun ye kat area homestay mak tu. Kaki tangan tak payah la cakap kena gigit dengan nyamuk tapi anak kampung mesti kental kan.

Demam

Dari hujan, bawa ke panas terik sudahnya aku yang demam bila balik KL. Batuk dan hilang suara dan aku agak-agak sendiri tonsil aku bengkak. Disebabkan trauma dengan ubat dan doktor, aku tak pergi pun klinik. Telan air suam dan makan aiskrim dalam tub tu je. Alhamdulillah, bengkak rasa dah hilang cuma tinggal batuk je lagi ni.

Walaupun budak-budak lepas bebas main kat luar, aku tak keluar pun. Betul-betul tak larat sebenarnya. Dua hari pertama ok lagi nak melayan karenah budak-budak ni dari pagi sampai malam. Tapi bila dah lepas dua hari tu memang dah mula start sakit kepala. Tu yang bila balik KL terus demam.

Aku memang tak boleh jadi full time housewife la. Baru tiga anak aku dah sampai demam melayan diorang. Tapi memang penat. Diorang main asyik la bersepah mainan tu. Tak tahu berapa kali mengemas mainan dari pagi sampai malam. Dah besar panjang tapi masih lagi mama yang kena mandikan, ambil baju, pakaikan baju. 

Rumah kampung tau je dari dapur nak ke ruang tamu tu kena la menapak 30 langkah gak, tapi kalau dah nak itu, nak ini, nak itu, nak ini samapai basuh tangan pun mama kena teman tu yang buat rasa nak pengsan.

Bila dah siap mandi, siap makan, siap masak, waktu diorang main itulah waktu kita nak rehat kejap kalau diorang tak bergaduh. Kalau start bergaduh tu memang dah jadi singa pulak nak leraikan diorang.

Bila nak rehat cuba lelap mata memang tak boleh la. So dengan tak sengaja menyambung hobi lama membaca novel adik aku yang berlambak dalam almari tu. Giler banyak ambil tapi semua cerita klise je so jadi boring nak baca.

Novel

Tapi dalam banyak-banyak novel yang ambil tu, ada satu karya Hlovete, 5 Tahun 5 Bulan. Jalan cerita memang klise bila jadi orang gaji mesti anak majikan jatuh cinta kan. Tapi bercinta cara diorang ni jenis (Ana & Along) tak luah perasaan masing-masing sebab tak sure dengan perasaan masing-masing. Rasa tak jemu ulang baca cerita ni.

Travel : Tempat shopping souvenir di Bejing

Dua orang adik aku tu pi jalan-jalan nak rasa musim sejuk kat Beijing tu. Lagipun budak berdua tu dalam misi melengkapkan 7 tempat ajaib di dunia. Aku nak ikut tak dapat la sebab masih ada tanggungjawab terhadap keluarga. Lagi pun, kalau nak pergi ikut diorang siapa pulak yang tinggal nak jaga mak. Kalau aku pergi dgn husband and anak2, mungkin bukan sekarang. Tunggu yang kecik tu besar sikit dan dengar kata. Ni asyik nak berlari ke sana ke sini, tak larat mengejar. Aku pun nak mula dengan buat Umrah dulu macam adik-adik aku baru kita gi jalan tempat lain yang tak berkenaan tu.

Ni ada satu tips dari adik-adik aku la. Diorang kata, kata ikut trip travel ke Beijing, tak payah la beli barang kat tempat lain. Kalau guide bawak lawat kat bird nest tu baru beli kat situ sebab kat situ memang sangat murah untuk belikan souvenir kat kawan-kawan. Aku tak leh nak cerita banyak-banyak sebab aku tak pergi, kalau aku pergi boleh la aku cerita details.

Ok la, takat ni je cerita cuti sekolah aku ni. Tak tahu nak bawa budak ni pergi mana lagi cuti sekolah ni walaupun sebenarnya dah jalan sampai ke Perak tapi hanya balik ke rumah mertua. Tak sempat ke Pangkor / Lost World Tambun / Bukit Merah / Hot Spring Sungkai. Psst..Rizal yang tak nak pergi. Huhuhu...


Thursday, December 15, 2016

Genius Aulad : Little Ihtifal 2016

Salam..

Dah hampir sebulan dah pun cerita Little Ihtifal ni tapi tak update lagi dalam blog ni. Nak kata busy sangat tak de la. Macam biasa je tapi sebab cuti tu yang buat malas nak menulis.

Tahun ni 1st time Amni naik bas ikut pergi practice kat Dewan Auditorium. Aku risau gak kat dia ni kot la terkencing ke apa kan sebab takut nak gi toilet. Nasib baik dia dengar apa yang aku cakap ajak Aisy teman kalau takut.

Tapi satu je la yang aku kesian, walaupun aku dah bekalkan mereka dengan roti dan air kotak, tapi diorang ni lurus je ikut teacher cakap tak payah bawak keluar dari bas. Memang tahap lapar la anak aku berdua tu bila dah naik bas around 1.00 pm. Mana taknya dari pagi tak heavy breakfast. Aku nak ambil cuti sebenarnya nak tunggu diorang kat sana at least half day tapi tak approve lak cuti aku sebab baru je cuti minggu sebelum tu.

Amni kali ni tak joint 5 years buat persembahan sebab dia kan tak masuk class. So dia joint skali dengan persembahan 6 years. Kat situ aku terselamat nak sediakan baju ala-ala orang Arab tapi kena prepare dua track suit hitam dan dua tshirt lengan panjang hitam. Nasib baik gak track suit n tshirt yang Aisy 4 years masih tersimpan rapi dalam tong baju tak pakai. Nak buang sayang, nak let go tak let go lagi. Rupanya ada kegunaan.

Kali ni kami memang sangat lambat sampai kat Muzium tu sebab aku just biarkan je diorang tidur dulu. Pukul 8.00 lebih baru gerak. Sampai je waktu register dah tinggal berapa orang je lagi belum register. 

Waktu register tu memang diorang bagi satu je goodies bag yang dalam tu ada nombor cabutan bertuah. Aku bukan kesah ke nombor cabutan bertuah tu tapi kesah ke barang2 dalam goodies bag tu. Aisy dan Amni orang yang suka sangat bergaduh dan terasa hati merajuk panjang-panjang. Aku pun dengan berani tanya la kot boleh dapat lagi satu kan sebab aku hantar anak dua kot, bayar untuk event pun dua orang kan. Alhamdulillah, dapat untuk Amni satu dan mereka akan berbaik-baik sesama mereka. Yang paling best gak nombor yang Amni tu menang cabutan bertuah. Hadiahnya adalah ZIGMA Water Filter. Hanya ada tiga hadiah cabutan bertuah kali ni tapi barang memang semuanya barang ZIGMA. tak silap aku yang lagi dua tu periuk dan dapur. Kira bertuah la nombor Amni ni sebab kan sepatutnya dah tak dapat dah tapi pergi mintak juga buat muka tak malu nak goodies bag kan.


Tahun ni buat sekelian kalinya aku datang sebagai parents yang anaknya graduate. Cik Su n C. De diorang dah tempahkan bunga lagi untuk budak berdua tu walaupun yang seorang je graduate.

Seperti biasa tak ada anugerah khas bagi pelajar paling terbaik di kalangan mereka. Aku tak tahu macamana nak suggest kat Principal dia walaupun aku selalu jumpa. 


Hari tu jugak diorang serahkan sijil penyertaan kepada peserta pertandingan Cabaran Bijak Membaca & Read It Right Challenge. Tapi sayangnya sijil yang laminate cantik letak dalam goodies bag, diorang cuma dapat 'sijil' dalam gulungan je atas pentas tu. 

Kebetulan pulak Aisy waktu tu tengah nak tukar baju nama dia kena panggil. Dia bawa sekali dengan beg baju pi ambik sijil, memang kelakar. Tudung dah la senget benget, maklum la budak yang tak suka pakai tudung ni. Tak tahu darjah satu nanti macamana. Ke boleh tak pakai tudung sebab aku dulu pun tak pakai tudung. Hihihi..

Persembahan pentas macam tiap-tiap tahun. Props memang boleh tabik spring bagi lima bintang tapi persembahan sangat membosankan sebab tak tahu apa yang diorang ceritakan. Cuma yang 4 years happening sikit sebab nyanyi dan menari-nari lagu "Baby Shark" tu. Huhuhu..sangat bosan dah tiga tahun hadap persembahan macam ni. Tadika lain punya majlis graduasi macamana yek...sape nak share tinggalkan jejak ye. Tahun depan Insyaallah seorang lagi nak graduasi di GA ni. Harap ada perubahan...

Gambar-gambar konvo dan persembahan semua dalam DSLR belum transfer. Nanti bila rajin baru update gambar.

Sampai sini je cerita majlis Little Ihtifal 2016. Jumpa lagi tahun 2017. Bye..    

Tuesday, November 22, 2016

Tragedi November

Salam...

Bulan November dah sampai ke penghujung bulan tapi aku baru je nak update kejadian yang berlaku seminggu yang lalu.

Macam biasa hujung minggu memang kami balik kampung menghabiskan masa hujung minggu di kampung ni macam sesuatu yang sangat bebas untuk anak-anak aku. Mereka boleh berkayuh basikal, main hujan, jalan-jalan keliling rumah tengok pokok, petik bunga dan buah. So diorang akan rasa jugak la apa yang aku rasa masa kecik dulu walaupun tak semua. Main hujan tu first time bagi sebab hujan sangat lebat, so air memang sangat laju dari atas dan rumah mak tu dah macam sungai pulak.

Dulu kami kecik-kecik bila hujan ni la masa yang sangat dinanti. Kalau abah tidur, kami keluar je dari pintu depan rumah berenang dalam air hujan yang bertakung kat depan rumah. Kalau abah tak tidur, kami masuk bilik air, dan dan waktu hujan konon nak mandi tapi sebenarnya kami keluar dari pintu bilik air mandi hujan. Sengal tak sengal tempat port mandi hujan tetap depan rumah. Tak ke rasa bodoh kalau keluar senyap-senyap pun abah masih nampak. Betul tak?

Dulu hujan lebat pun rumah mak tak la masuk air, tapi sejak dua tahun kebelakangan ni rumah mak tu macam tak boleh menampung je air hujan yang lebat. Bulan ni je dah dua kali banjir dalam rumah. Habis berselut dan nasib baik jugak awal tahun hari tu dah tukar lantai rumah ke jubin. Kalau pakai tikar getah lagi tak tahu la.

Disebabkan banjir ni, Rizal dengan baik hati dan rela hati mengorek longkang yang tersumbat dan gali longkang baru sekeliling rumah. Dan pengakhiran projek longkang dia, kaki dia tercedera bila dia terpijak kawad duri pagar tu. Mungkin disebabkan hujan lebat kawad duri ntah dari mana hanyut sampai ke bawah pokok rambutan dan husband aku lak hanya berselipar sebab dah selesai kerja-kerja simen longkang. Cuma nak bawa balik barang-barang kerja dia dengan kereta sorong.

Dia panggil aku ingat terpijak paku je, rupanya kawad duri tu yang masih panjang. Giler mencari playar nak potong kawad duri dulu. 3 kali cuba potong baru boleh sebab tak boleh nak gerakkan kawad tu, maunya meraung Rizal tu kalau kita gerakkan atas bawah na potong kawad tu. Aku buat cara habis slow dah nasib baik boleh potong. Tengok dari dari sebelah yang tak masuk dalam kaki tu, ada la 3 inci yang masuk ke dalam kaki. Memang tak boleh nak cabut sebab tak tahu kat mana sangkut. Lagipun sangat panjang.

Baru je selesai potong, bangun nak gerak balik rumah nak pergi hospital, dia pitam dalam kebun tu. Tiba-tiba rebah. Kami semua panik, adik terus drive kereta gi panggil ambulan dan dresa (kat hospital panggil MA kat kampung panggil dresa je).

Nasib baik dia tiba-tiba sedar bila aku basuh muka dia, terkejut jugak aku bila Rizal tiba-tiba buka mata dengan mata yang terbeliak. Dia kata dia tak boleh bangun, gelap je mata. Rehat dulu, tarik nafas, minum air banyak-banyak dulu, dia melompat sebelah kaki dengan lajunya balik rumah. tak sempat aku nak papah dia.

Setengah jam jugak tunggu ambulan sampai. Bila dresa tu sampai, dia pun tak berani nak tarik dan decide bawa gi hospital jugak. Aku ikut husband aku naik ambulan tu skali sebab adik aku kata nanti kalau bawa kereta budak-budak ni semua nak pergi.

Kat hospital dengan masuk ER sebab Dresa tadi dah call inform doc siap-siap. Aku je yang gi kaunter nak register. Rizal still masuk ER sorong guna stretcher sebab dawai tu ada lagi dalam dua inci yang keluar dari kaki dia. Memang tak boleh nak naik wheel chair. Dari ER tolak pulak ke tempat xray sebab nak tahu kawad tu sangkut sampai mana. Kalau lekat kat tulang kena la buat minor surgery nak buang kawad tu.

Alhamdulillah, walaupun 3 inci yang masuk, masih boleh ditarik oleh doktor kat ER je. Kalau tak aku tak tahu la minor surgery kena buat kat Raub je atau kena tolak pulak ke Lipis / Temerloh. Tapi Rizal tak sedarkan diri dah bila sampai rumah petang tu. Bila buka mata dia rasa nak muntah. Tepaksa la EL esoknya sebab takut kalau balik KL petang tu jugak buatnya dia pengsan kat KL nanti susah aku nak angkut 3 orang anak ke hospital pulak.

Minggu ni sambung kerja-kerja touch up longkang dia dengan penuh ciri keselamatan lagi. Berkasut bagai. Tragedi November sungguh dia ni. Kalau teringat panjang mana kawad duri tu tembus kaki dia, I is ngeri you. Kalau kena kat diri sendiri tak tahu apa rasa.

Nota Pesanan Pemilik Blog : kalau terkena / terpijak apa-apa yang barang yang sudah berkarat, cepat-cepat lah jumpa doktor untuk ambil suntikan tau. Sangat bahaya karat tu.