Heboh tentang kemalangan yang sangat menyayat hati, aku terjumpa artikel ni kat Utusan Malaysia.
Kemalangan di Duke: Mengikut pandangan Syariah
05 Mei 2015 2:26 AM
|
SEMUA lapisan masyarakat Malaysia
melahirkan kesedihan terhadap kemalangan maut yang menimpa sebuah keluarga di
Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), pada awal pagi Sabtu lalu.
Kemalangan itu meragut nyawa seorang bapa,
Fairuz Nizam Husain, 35, serta isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi
mereka yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa.
Yang menjadi kemarahan orang ramai
adalah apabila dikatakan bahawa kemalangan tersebut berlaku disebabkan
perlumbaan antara enam buah kereta Perodua Myvi di tempat kejadian.
Dan yang lebih menyedihkan apabila
memikirkan bagaimana nasib dua orang lagi anak mangsa yang masih kecil iaitu
Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila masing-masing berusia 7 dan 4 tahun untuk
meneruskan kehidupan mereka di dunia ini tanpa ibu bapa mereka di sisi.
Siapa yang akan membela nasib mereka
dalam tempoh yang amat panjang lagi untuk mereka menjadi dewasa - masuk ke alam
persekolahan kemudian ke institusi pengajian tinggi dan bekerja.
Jika diteliti undang-undang Sivil,
diperuntukkan di bawah Seksyen 41 yang pesalah hanya dikenakan hukuman penjara
tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang
RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen
memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.
Akan tetapi, keluarga mangsa tidak
mendapat pembelaan sewajarnya sama ada pampasan daripada penjenayah dan
sebagainya. Bahkan, denda yang dikenakan kepada penjenayah tersebut hanya
diberikan kepada kerajaan bukannya kepada keluarga mangsa.
Melainkan perlu melalui tuntutan fail
di mahkamah yang sudah pasti akan melalui prosedur dan kos yang berlainan.
Ini sangat berbeza dengan ketetapan
di dalam Undang-undang Syariah dalam menyelesaikan kes ini. Dalam Islam,
sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat,
diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga
mangsa bukannya kerajaan.
Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh
seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat
yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat (dalam konteks kes ini)
adalah diyaat mukhaffafah (diyaat ringan), iaitu 100 ekor unta yang dibayar
secara beransur-ansur selama tiga tahun dan setiap tempoh masa satu tahun
dibayar 1/3 diyaat.
Walau bagaimanapun para ulama berpendapat
boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa
tersebut. Di antaranya ialah:
a. Wang Emas - 1,000 dinar
b. Wang Perak - 10,000 dirham
c. Lembu - 200 ekor
d. Kambing - 2,000 ekor
e. Persalinan - 200 persalinan lengkap.
Kadar seekor unta misalnya RM4,000
maka jumlah satu diyaat penuh ialah RM 400,000 manakala jika seekor lembu
RM2,000 maka satu diyaat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu
diyaat penuh.
Cuba
bayangkan jika di dalam kes ini yang menyebabkan kematian seramai tiga orang,
maka penjenayah perlu membayar ganti rugi tersebut kepada waris mangsa dalam
kadar tiga kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar
adalah lebih kurang RM1.2 juta.
Di sinilah dapat kita teliti
rahmatnya undang-undang Syariah Islam berbanding undang-undang Sivil kerana ini
bukan sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi dapat
membela waris mangsa dengan sewajarnya.
Akhirnya, salam takziah daripada
seluruh pelajar Undang-Undang Kuliah Ahmad Ibrahim kepada keluarga yang
terlibat. Semoga roh mereka dirahmati Allah. Al-Fatihah.
Artikel sebenar boleh cari kat Utusan Malaysia hari ni.
Artikel ni sangat menarik pada aku sebab aku sendiri tak pernah nak cuba mencari setiap kesalahan sivil tu di bandingkan dengan pandangan syariah.
Bila baca artikel ni, pada aku sangat baik sekali Undang-undang Syariah ni berbanding Undang-undang Sivil. Dalam sivil, mangsa tidak akan menerima apa2 gantirugi tetapi kerajaan yang menerima hasil dendaan tersebut. Tetapi Undang-undang Syariah, mangsa akan mendapat manfaat dari segi gantirugi yang terpaksa di bayar oleh pesalah.
Sudah sepatutnya kita mengamalkan Undang-undang syariah di negara kita untuk tidak menafikan hak sebagai mangsa sesuatu kejadian.
No comments:
Post a Comment